August 1, 2012

Perkhabaran Lama II


Hari itu hari bersejarah, permulaan sebagai manusia bertamadun. Mula masuk bercelaru dengan rasa-rasa aneh. Ini dunia baru. Ini jejak baru. Ini baru mula. Tak seorang pun tahu apa terbentang cerita hidup di hadapan. Setiap satu punya cerita sendiri. Mula masuk, kelas terasa penuh, makin lama ada yang terbang. Hari itu hari Isnin. Seperti kebiasaan kita tahun-tahun lepas, bangun pagi macam pergi sekolah dulu-dulu. Kelas pagi memang menyakitkan mental dan fizikal, tapi itu memang nasib kita, sampai semester lima tetap tersusun kelas-kelas yang menyambut matahari terbit. Kelas BEL jadi permulaan pendaftaran rekod nama dan muka dalam minda masing-masing. Kita memang hidup penuh demokrasi, tiap semester bagi peluang orang lain jadi ketua. Malangnya tak seorang pun mahu ganti jawatan pemegang tabung dana warga B.

English Week jadi tempat kita mula takluki dunia, dengan sketsa yang kita menang, rasa macam dunia ni kita pegang. Berbunga hati semua yang rasa. Sketsa dan choral speaking, latihan melempar suara malam hari memang tak padam dalam jalan menuju jaya. Terasa macam satu keluarga bahagia yang duduk minum petang tiap malam. Latihan sketsa dan choral speaking yang kita gigih amalkan setiap hari, ada masa kita tebalkan muka buat latihan di lereng bukit tepi tasik. Semua mata yang lalu memandang tapi demi pengakhiran yang penuh jaya, kita cantas semua rasa segan yang ada. Akhir choral speaking, seorang warga B diculik. Macam-macam rasa bergelimpangan dalam kotak hati masing-masing. Tapi tak apa, peristiwa itu pantas menuju normal.

Kalau tengok balik gambar masing-masing masa semester satu, memang berubah semuanya. Kita pernah buat sesi menangkap gambar tepi tasik, semua warga B munculkan diri. Memang terasa penuh sebab tak ada seorang pun yang tertinggal. Lepas tu, kita buat spa kaki buatan sendiri. Petang tu terasa nyaman dengan cuaca redup dan acara duduk atas jeti mini sambil rendam kaki dalam air tasik yang tak sejernih mana tu. Acara berbuka puasa tepi tasik juga pernah diadakan. Sambil menanti waktu buka puasa, kita pandang jasad-jasad asing yang memenuhi jalan menuju ke pasar malam. Tiba waktu, kita menjamah makanan masing-masing bersama dan saling menderma makanan kepada mulut-mulut yang memerlukan. Tak lama lepas tu, lagi peristiwa tak berapa indah muncul dalam tulisan hidup warga B. Seorang lagi terpaksa terbang pergi jauh, tinggalkan kita buat sedetik lebih. Tapi tak apa, dia terbang semula pada kita akhir cerita ini.

Peraturan yang ketat kadang-kadang buat kita rasa macam mahu nyalakan unggun api dalam jantung masing-masing. Mungkin selalunya salah kita, berpegang pada janji Melayu, tapi bila dihalang kemasukan untuk menuntut ilmu pada pagi hari, hati siapa tak membara. Tergamam bila pintu cuba dibuka tak dapat. Usaha bangun pagi terasa sia-sia. Pada siapa yang tepati masa memang rasa hati berbunga dapat duduk selesa depan komputer sambil nikmati angin dingin artificial. Tapi pada yang terkurung jasad di luar kelas memang terasa seperti mahu serang segala jasad yang berani tentang mata. Duduk di tangga depan kelas adalah penyelesaian terakhir untuk renungan salah silap permulaan hari. Tapi semua tu satu pengajaran untuk kita tepati masa, macam dasar pandang ke Timur, walaupun bukan kenangan paling indah.

Hidup ini banyak halangan yang boleh buat emosi kita berserabut. Kita buat luahan rasa lepas tuntutan ilmu dah selesai. Kita kurung diri dari dunia luar seketika untuk menghadiri mesyuarat hati. Banyak kata berterbangan lalu dilempar pada sasaran. Bertalu-talu kemasukan ayat-ayat menyayat jiwa dalam kepala masing-masing. Kita meriah berbicara tentang hati-hati luka. Hari itu langit terang tapi hati mendung mata berkaca. Tapi seperti selalunya, kita tetap bersama lepas konfrontasi jiwa.

Kertas-kertas nilai yang dikumpul dicadangkan untuk acara pembakaran besar-besaran tepi pantai. Tegas seorang warga B, sotong bakar yang dia buat amat enak. Ya. Anda tahu anda siapa. Terasa seperti satu keluarga besar yang buat rombongan makan-makan. Kereta masing-masing beratur atas jalan tirus tak beri peluang pada kereta asing buat kemunculan dalam gambar sempurna kita. Memang enak rasa hati tak tipu bila ramai-ramai pandang filem alam semulajadi sambil muzik latar bermain lagu ombak. Perut pun rasa senang hati.

Tak lama lepas tu, dua lagi terbang jauh tinggalkan sarang lama. Seorang pergi tanpa berita, seorang lain terbang ke dunia baru, yang lebih selesa untuk didiami lepas konfrontasi hati. Bukannya selalu hati kita bersatu, tapi tak ada satu pun yang pergi fast track. Nampak macam setia benar kita bersama, bukan? Hari-hari biasa dalam makmal sebelum ketibaan pensyarah, kita selalunya menghabiskan waktu mengadap komputer. Permainan Counter Strike dirai bersama. Rasa seronok dapat berperang dalam makmal komputer bersama warga B yang lain.

Kegigihan mencari rumah tradisional Melaka di setiap pelusuk bandar bersejarah itu terserlah demi menghasilkan satu produk yang boleh buat kita kembang hati akhir semester. Hasil-hasil tangkapan yang memberangsangkan dipamer penuh bangga pada khalayak ramai dan buat hati kita berbunga bila nampak orang asing seperti memuji walaupun tak kedengaran apa yang diperkatakan.

Semester yang dikatakan paling menggegar minda dan fizikal dapat ditempuh juga dengan penuh jaya. Berikan tepukan pada diri masing-masing. Ini menunjukkan kita sekuat harimau. Ya, harimau. Mungkin juga singa. Tak kisahlah apa pun klasifikasi sendiri. Banyak perkara baru yang dipelajari semester ini. Usaha untuk menjadi seperti pembaca berita professional terpampang depan pensyarah dan warga B yang lain. Dapat juga nampak karakter baru masing-masing bila berdepan kamera. Idea-idea liar yang berguna penat dipunggah untuk berikan hasil terbaik yang nantinya ditonton bersama warga kelas lain. Di situ daya kreatif imaginasi paling tinggi dipertontonkan pada khalayak.

Bila sudah menjadi yang paling atas, jarang sekali kita menatap muka masing-masing. Dulu yang selalunya sanggup berjalan keluar bersama bawah terik mentari melegakan lapar perut, kini sudah berjalan mengikut lorong masing-masing. Awal-awal masuk, semuanya gigih berjalan kaki dari kolej ke kelas bersama-sama. Memang penat tapi dengan kehadiran rakan-rakan di sisi, rasa penat tak dapat menembusi keriangan jiwa yang dirasa bersama. Tamat sesi pembelajaran tempat makan kita tuju bersama-sama.

Selepas ini, akan terbang satu demi satu mengikut jalan yang berlainan, tapi buat masa ini kita menjejak kaki di bumi, menikmati masa yang mungkin nantinya kita rindu. Walaupun ada beberapa acara yang tak menggamit rasa, ada yang tertinggal dan ada yang terbang ke sarang lain dalam perjalanan bertemu cita, kita sudah lalui ini semua bersama. Setiap lagu akan bertemu pengakhirannya tapi itu bukan alasan untuk kita tidak menikmati muziknya. Mungkin esok kepada esok tetap berirama sempurna walau tak bertemu ruang nafas yang serupa.