November 2, 2009

Tentang Kita

ia bermula di situ
di lorong catuan manusia
kita melintas mata-mata asing
debaran meluru ke puncak paling tinggi

terkurung jiwa putih
bersama jiwa hitam
tercemar dengan alunan bingit suara
kepadatan jasad terkurung

tumpuan mata pada manusia
di pentas utama
mahu takluki dunia

ruang nafas yang suci
makin tercemar
dengan peluhan dan nafas asing
bertalu membuat gaya kemasukan paling anggun

terperangkap pandangan
tewas bersama angan
butir-butir kata tersingkap
dalam riang gembira
yang ralat
hingga suria mahu menutup tirai
kita tak mahu lepaskan
malam telah tewaskan kita

sesal tak pernah terbit
sedikit pun
tak pernah tercalit
persoalan menjengkelkan
menjadi titik permulaan
satu dunia yang lahir
daripada keinginan

November 1, 2009

Cik Moona Merah

rima berima indah
kau dengarkan sayup suara
atas persoalan
kau beri jawab
pada diri yang sedang menunggu
minda yang menanti
hati yang bergelodak
dengan spekulasi indah
walau tak tepat
diterima
walau tak sampai erti
senyum terukir

bertemankan angin malam
cahaya bulan yang dilindung
oleh awan yang cemburu
bersama bintang di samping
kerdil namun masih enak dipandang
mereka sentiasa di situ

mengasing diri dari dunia bingit
terus tenggelam dalam rona-rona cahaya
lampu neon yang terang
dengan angin menghembus dingin
mengucapkan selamat
pada mereka yang lain
yang telah koma dalam angan malam

yang masih dalam kondisi sedar
nikmati saat bersama
nikmat sementara
bersama cik moona merah