Ali masih ingat kali pertama dia berjumpa Hana. Gadis berambut paras bahu itu sedang melihat buku-buku yang dipamerkan di tingkap kaca kedainya. Wajah Hana ketika itu seperti kanak-kanak yang dihulur sebaldi gula-gula kegemarannya. Ali tersenyum, terhibur dengan gelagat Hana. Tak lama selepas itu, Hana hilang dari pandangan. Ali tak nampak kelibat Hana lagi, sehinggalah seminggu selepas itu, Hana menjejak kaki ke kedai bukunya buat kali pertama. Kemudian, berterusan kunjungannya ke situ setiap minggu.
Tidak selesa dengan kehadiran mata-mata asing, Hana beredar ke tempat kegemarannya. Kedai buku itu menjadi tempat persinggahan setiap kali selepas habis kelas. Kalau bukan setiap hari pun, setiap minggu pasti dia akan menjejak kaki ke situ. Hana gemarkan suasana sunyi di kedai itu, tambahan pula dia dikerumuni lautan buku-buku yang sepertinya ada kuasa penenang pada jiwa Hana.
Hana berdiri di hadapan rak buku sastera. Mata melilau memulakan pencarian buku-buku menarik untuk dijamah. Dia ternampak tindihan buku di bahagian atas rak. Dia cuba untuk menyusun kembali buku-buku itu, tapi belum sempat dia sentuh, ada tangan yang dah mencapai. “Maaf, ini saya punya”, kata lelaki yang punya lesung pipit dalam di pipi kirinya. Hana tergamam, mata tak sanggup berkelip. Mungkin senyuman manis berlesung pipit itu ada kuasa yang boleh mengkakukan badan bila ada yang memandangnya. Hana rasa bunga-bunga, tak tahu kenapa. Dia berdiri kaku, sama seperti waktu dia masuk tadi.
No comments:
Post a Comment